Sunday, May 31, 2009

Untukmu Wanita





Saya telah terlibat dengan Program Untukmu Wanita pada 30 Mei lalu yang telah diadakan di Auditorium Lembaga Pembangunan & Penduduk Keluarga Negara (LPPKN), Kuala Lumpur. Program separuh hari ini adalah untuk meraikan para ibu dengan membantu memberi pendidikan pengurusan kredit oleh Agensi Kewangan Pengurusan Kredit (AKPK) serta memberi pengetahuan tentang teknik tatarias dan penampilan agar kelihatan anggun dan bergaya bersesuaian dengan peredaran masa kini. Pihak penganjur juga telah mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk para peserta serta jemputan yang hadir.

Program ini telah dianjurkan oleh Biro Briged Putri Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Nasional (MAPIN) dan mendapat kerjasama Agensi Kewangan Pengurusan Kredit (AKPK), Lembaga Pembangunan & Penduduk Keluarga Negara (LPPKN) dan Majalah Mingguan Wanita terbitan Karangkraf serta disokong oleh Jabatan Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan dan Koperasi Ukhwah. Penyertaan adalah percuma dan program ini turut diserikan dengan cabutan bertuah.

Antara penceramah yang hadir ialah Pn. Noor Akma dan En. Adnan daripada AKPK serta En. Richie Rashman, perunding fashion Majalah Mingguan Wanita terbitan Karangkraf.

Saturday, May 30, 2009

Bersama EXCO Pemuda UMNO





Salam dan bertemu lagi. Bicara Anak Merdeka siri 4 minggu ini bertajuk "Masalah Belia Melayu Perundangan & Pembelaan" bersama YBhg Dato' Mohd Khairun Tan Sri Aseh, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Biro Guaman, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Dato' Mohd Khairun juga merupakan seorang pengamal undang-undang a.k.a peguam.

Minggu ini topik berkisar tentang masalah perundangan yang melibatkan masyarakat Malaysia kkhususnya belia muda dan ada juga beberapa perkara yang melibat perundangan negara.

Jemputan yang hadir telah membincangkan dan bertanyakan soalan mengenai ISA, Hindraf, Akta AUKU, Kontrak Sosial dan banyak lagi. Pada saya, speaker memenuhi kehendak peserta yang bersantai ketika menjawab soalan dan sapaan mesra beliau bersama kami. Ini menjadikan kami mudah berinteraksi dengan beliau. Syabas dan tahniah kepada speaker yang bijak mengawal suasana semasa sesi soal jawab yang agak hangat ketika itu. Moga kita bertemu lagi.

Wednesday, May 27, 2009

JEMPUTAN



PROGRAM BICARA ANAK MERDEKA

8.00 MALAM
29 MEI 2009 (JUMAAT)
CAFE MERDEKA, MENARA DATO' ONN
PWTC, KUALA LUMPUR


ANJURAN : SEKRETARIAT BICARA ANAK MERDEKA


DATANGLAH BERAMAI-RAMAI, SEMUA DIJEMPUT HADIR

Saturday, May 23, 2009

Bicara Anak Merdeka Siri3







Salam, berjumpa lagi,

Malam ini, Bicara Anak Merdeka siri 3 telah menjemput YBhg Datuk Abdul Rauf Yusoh, Setiausaha Kerja UMNO Malaysia. Sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran di luar jangkaan. Kami telah menjemput golongan yang diistilahkan sebagai "mat rempit" untuk bersama-sama membincangkan keadaan dan tanggapan masyarakat terhadap mereka dan bersama jemputan lain yang terdiri daripada rakan-rakan belia/muda daripada IPTA/IPTS dan pertubuhan belia/persatuan.

Perbincangan yang bermula dengan tenang dan lancar berkisar tentang percampuran kaum dan tentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan beberapa topik politik semasa telah diajukan. Akan tetapi perbincangan menjadi hangat apabila salah seorang "mat rempit" ini bertanyakan tentang bagaimana kerajaan boleh membantu mereka dalam membangunkan diri dalam perancangan program-program kerajaan agar mereka boleh turut-serta dan tidak dipandang negatif oleh masyarakat. Mereka ini sebenarnya sangat berminat untuk mencurah bakti bersama golongan muda yang lain untuk manfaat bersama. Bagaimana mereka hendak menabur budi jika stigma masyarakat hari ini dengan label yang negatif kepada mereka? Kita wajar membuka minda agar stigma ini dihentikan kerana di kalangan mereka ini mempunyai pekerjaan tetap dan ada yang bergelar usahawan muda. Dalam setandan pisang, tidak semuanya yang rosak.

Sekalung tahniah kepada Datuk Abdul Rauf yang berjaya menangani isu itu dengan menjawab soalan yang meyakinkan walaupun pada awalnya mengundang sedikit perbezaan pendapat. Beliau telah mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin yang hadir.

Saya juga sempat bertanyakan soalan kepada speaker bagaimana hendak mencintai UMNO dalam konteks yang mudah difahami dan diterima oleh golongan muda/belia. Datuk menjawabnya dengan mudah "berkasih pada yang sudi, memberi pada yang sudi menerima dan berteduh pada pohon yang rendang". Harapan saya, apa yang kita sasarkan adalah penyatuan persamaan bukan perbezaan dan yang dicari adalah titik pertemuan, tidak kira fahaman, ideologi ataupun pangkat. Program ini telah berjaya menghimpunkan golongan street smart dan book smart untuk duduk bersama-sama dan berkongsi pendapat.

Terima kasih juga kepada Sdra. Nazif Datuk Seri Najib, anak kepada YAB Perdana Menteri Malaysia yang turut hadir dan tidak canggung beramah mesra bersama semua jemputan yang hadir. Tahniah dan terima kasih juga kepada Sdra. Rizal, YDP Pertubuhan Pembangunan Belia WPKL yang telah berjaya mengajak dan menyakinkan golongan yang diistilahkan sebagai 'mat rempit' ini untuk hadir bersama-sama.

Saturday, May 16, 2009

Bicara Anak Merdeka Siri2



Salam semua,

YBM Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah dijemput sekali lagi untuk menjadi speaker program siri 2 pada malam tadi. Antara perkara yang dibincangkan berkisar tentang sejarah kemerdekaan, hak dan perjuangan Orang Melayu, perjalanan hidup tokoh-tokoh negara dalam berjuang untuk mencapai kemerdekaan serta hal-hal politik semasa.

Malam ini kami masih memfokuskan jemputan agar terdiri daripada golongan muda/belia dan sambutan mereka telah meningkat. Pelbagai soalan telah diajukan kepada YBM Datuk Seri dan jawapan yang telah diberikan berjaya merungkai kemusykilan para tetamu. Terima kasih YBM Datuk Seri.

Terima kasih kepada Encik Mohd Raizuli Jusoh, Timbalan Pengarah Bah. Perkhidmatan & Latihan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Cik Huzryfionawati, Naib Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Segambut kerana sudi hadir serta ahli-ahli puteri memberikan sokongan.

Friday, May 8, 2009

Bicara Anak Merdeka


Saya telah terlibat sebagai koordinator program "Bicara Anak Merdeka" yang telah diadakan di Cafe Merdeka, Menara Dato' Onn, PWTC, KL. Program siri pertama ini telah dihadiri rakan-rakan daripada pelbagai lapisan golongan belia/muda antaranya pelajar IPTA, IPTS, Pertubuhan Belia/persatuan dan orang perseorangan. Kami amat berterima kasih serta berbangga dengan kehadiran YBM Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agong UMNO Malaysia kerana sudi menjadi speaker siri pertama untuk program kali ini. Rata-rata para tetamu yang hadir merasa gembira dengan perkongsian maklumat, idea dan pengalaman bersama speaker dan saya telah diberi amanah sebagai pengacara majlis pada malam itu.

Program ini diilhamkan untuk berkongsi maklumat dan bertukar fikiran secara interaktif di antara pemimpin/tokoh dengan golongan muda tanpa mengira status dan kerjaya mereka. Apapun saya menganggap program ini sebagai kick start dalam mengeratkan serta menyatupadukan kembali golongan muda untuk turut serta dalam agenda pembangunan kerajaan di bawah satu bumbung seterusnya menyumbang dalam pembentukan negara.

Terima kasih kepada mereka yang telah hadir dan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada En. Shariff Hamid yang telah bertungkus-lumus untuk merealisasikan program ini dengan jayanya. Program ini berterusan akan diadakan setiap minggu pada hari Jumaat jam 8 malam di Cafe Merdeka dan speaker yang akan dijemput terdiri daripada tokoh negara kita, negeri, pertubuhan/persatuan di Malaysia ini.

Thursday, May 7, 2009

Salam Semua & Salam Perkenalan

Blog ini diterbitkan sebagai inisiatif untuk berkongsi pelbagai tajuk dan isu-isu semasa mengenai politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain lagi. Perbincangan ini seiring untuk membuka minda para hadirin yang disasarkan daripada pelbagai golongan tidak kira status/kerjaya untuk melontarkan pandangan dan ideologi dalam mengupas setiap isu dan topik terkini.

Blog ini diharap dapat membantu untuk "bersuara" demi membentuk pemikiran positif dan menerapkan ciri kepimpinan di kalangan generasi muda yang ingin bersama menyuarakan dan melontarkan pendapat.

Saya sedia menerima komen dan maklumbalas daripada saudara/saudari yang mengunjungi blog ini kerana saya ingin mewujudkan interaksi dua hala supaya apa yang saudara/saudari fikirkan dikongsikan bersama saya. Komentar yang bakal disuarakan nanti, dapat dizahirkan dengan penuh tanggungjawab, ikhlas, murni dan ASLI supaya ia dapat menjana pemikiran yang terbuka, penerimaan positif dan memberi impak yang besar kepada agama, bangsa dan negara.