Thursday, November 11, 2010

Salam Haji & Hajah


Salam Semua,

Hari ini semua jemaah haji telah berkumpul di Kota Suci Makkah Al-Mukaromah. Mari kita semua mendoakan mereka yang hari ini dipanggil oleh Allah dengan kalimah Cintanya agar selamat dalam perjalanan ke Baitullah, sempurna dalam menjalankan rukun-rukun haji dan kembali dengan selamat ke tanah air dan kemudian mengaplikasikan hajinya (mamrur) hingga tiada balasan yang lebih baik kecuali Syurga, amin

Bila ya aku akan kesana???

Panggilan haji telah tiba lagi, menunaikan ibadah, panggilan Baitullah, tanah suci Makkah ya Makkahtul Mukaramah, Tanah Suci Makkah ya Makkatul Mukaromah. Begitu Qashidah yang biasa terdengar di kaca televisyen mahupun radio. Semoga dengan berdoa, ikhtiar dan mengantar jamaah haji akan menjadi jalan agar suatu saat panggilan Allah datang kepada kita, amin. Selamat kepada seluruh saudaraku yang sedang, atau mahu dan sudah menjalankan ibadah haji.

Wednesday, August 25, 2010

Malam Sentuhan Kasih Nur Ramadhan






Salam semua,

PEJABAT TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI dengan kerjasama YAYASAN DARLIN, PERTUBUHAN BELIA GLOKAL WILAYAH PERSEKUTUAN dan SEKRETARIAT BELA 1MALAYSIA telah mengadakan majlis Malam Sentuhan Kasih Di Raja Nur Ramadhan pada 24 Ogos 2010 yang lalu bertempat di Grand Ballroom Sime Darby Convention Centre Bukit Kiara Kuala Lumpur.

SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG TUANKU NUR ZAHIRAH telah berkenan mencemar duli untuk berangkat ke majlis tersebut dan seterusnya menyampaikan bantuan persiapan hari raya serta duit raya kepada 150 orang anak-anak yatim dan kurang berkemampuan untuk persiapan Aidilfitri. Turut hadir memeriahkan majlis YABHG TOH PUAN DATUK PATINGGI HAJAH NORKHIAH, Isteri Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak dan YB SENATOR DATO’ DR. MASHITAH IBRAHIM, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Selain menyampaikan sumbangan, majlis ini juga memberi peluang dan kesempatan kepada 150 orang anak-anak yatim dan kurang berkemampuan ini untuk berbuka puasa bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Sehubungan itu, pihak kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah membantu dalam menjayakan majlis ini. Sesungguhnya apa yang kurang itu datangnya daripada kita dan yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T.

Wednesday, June 16, 2010

Forum "Kami Besamamu Palestin"





Pada 14 Jun 2010 yang lalu, Pertubuhan Belia Glokal Wilayah Persekutuan dengan kerjasama SPICE UIA, Sekretariat BELA 1Malaysia dan Tabung Haji telah menganjurkan Forum 'Kami Bersamamu Palestin' bertempat di Auditorium Utama Universiti Islam Antarabangsa,Gombak.

Forum tersebut telah dirasmikan oleh YB Datuk Hj Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan ahli panel terdiri daripada En. Shamsul Akmar Musa Kamal, sukarelawan PGPO Kapal Rachel Corrie, Laksamana Pertama (B) Prof Madya Dr. Hj Sutarji Kasmin, Pensyarah UPM dan Pesara TLDM dan saya sendiri selaku aktivis belia.


Kami amat berterima kasih kepada ahli panel terutamanya En. Shamsul Akmar Musa Kamal yang telah melapangkan masa untuk hadir berkongsi pengalaman yang amat berharga semasa mengharungi detik-detik cemas ketika berhadapan tentera Israel dan terima kasih juga kepada Dr. Hj Sutarji Kasmin yang berkongsi pengalaman berkaitan strategi ketenteraan dan undang-undang laut antarabangsa.


Antara intipati forum, telah bersetuju dan sependapat mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang telah dilakukan oleh Israel dengan tindakan kejam rejim Zionis terhadap aktivis & sukarelawan yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.


Selain memboikot barangan Israel, kami menyeru masyarakat terutamanya golongan belia menyatakan kekesalan dengan menggunakan semua saluran yang ada terutamanya saluran media (cetak, elektronik, internet) yang ada supaya pihak Yahudi & rakyat asing dapat mengetahui betapa kita rakyat Malaysia terutamanya golongan belia di negara ini amat sedih, kesal & marah dengan tindakan zalim & ganas rejim Zionis tersebut.


Kami juga bersetuju bahawa Rejim Israel harus didakwa ke Mahkamah Keadilan Antarabgsa ICJ supaya keadilan untuk rakyat Palestin yang sudah telalu lama menderita ditindas oleh Zionis dapat dilaksanakan, selain mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (UNSC) supaya bantahan kecaman mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas Zionis dinyatakan oleh mereka.


Kesimpulannya para tetamu yang hadir gembira dengan perkongsian ilmu serta pengalaman daripada ahli panel yang hadir dan pihak penganjur akan memastikan forum-forum sebegini tidak akan terhenti dan akan di teruskan di IPTA/IPTS yang lain. Turut hadir rakan-rakan daripada Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UITM Shah Alam dan Belia 4B Petaling Jaya Selatan.



Saturday, May 29, 2010

Kongres Ekonomi Bumiputera




Semalam 29 Mei 2010, Pertubuhan Belia Glokal Wilayah Persekutuan telah dijemput untuk menghadiri perasmian penutup Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPN).Perdana Menteri hadir untuk makan malam bersama lebih 2,000 wakil 126 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Beberapa perkara telah dibahaskankan oleh YAB Perdana Menteri terutamanya berkenaan Model Baru Ekonomi (MBE) dan serentak dengan itu beliau memberi jaminan kerajaan tidak sekali-kali akan mengabaikan kepentingan Melayu baik secara tersurat maupun secara tersirat dalam apa jua dasarnya.

Beliau berkata sebagai anak kepada pengasas Dasar Ekonomi Baru iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, tidak mungkin beliau akan mengkhianati perjuangan bapanya. Katanya MBE yang bakal dilaksanakan perlulah diterima pasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020.

YAB Perdana Menteri berkata beliau juga ingin melihat MBE tidak akan mengetepikan agenda Melayu, malah akan mencari pendekatan yang lebih dinamik dan menjanjikan hasil yang lebih besar. Beliau menjelaskan kerajaan perlu merumuskan satu pendekatan baru kerana tidak mahu sesetengah cara lama yang tidak memberi kesan kepada kepentingan Melayu diteruskan dan antara sebab utama kegagalan mencapai hasrat yang ditetapkan oleh DEB ialah ketirisan keterlaluan yang berlaku
contohnya mengenai kontrak dan pemberian saham kepada orang Melayu yang kemudiannya ‘dijual’.

Katanya ini sesuatu fenomena yang diketahui umum. "Saya harap tidak ada sesiapa yang yang sangsi dan khuatir bahawa saya tak akan mendengar isi hati orang Melayu. Tak mungkin saya sebagai Presiden UMNO tidak mengambil kira kehendak Melayu sebagai majoriti rakyat Malaysia," katanya.

Beliau menegaskan jangan disamakan slogan 1 Malaysia yang dipeloporinya dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP. Beliau akan memastikan orang Melayu mampu bersaing di peringkat dunia tanpa mengabaikan bangsa lain yang turut berperanan membantu kesejahteraan negara. "Islam mengajar kita agar berlaku adil bukan hanya kepada sesama sendiri (Islam) tetapi turut perlu berlaku adil kepada bangsa lain". "UMNO mampu bertahan sehingga kini ialah kerana kita berlaku adil kepada bangsa lain," katanya.

Dewan Merdewa PWTC semalam gemuruh dengan para hadirin telah memberi tepukan gemuruh dean laungan ‘ Hidup Melayu’ 'Hidup UMNO' sejurus beliau mengakhir ucapan dan saya terasa satu kebangkitan bangsa Melayu kembali subur dan mekar untuk bersaing dalam arus globalisasi masa kini.