Sunday, June 28, 2009

Kuasai ekuiti Bumiputera


Sejarah membuktikan pentingnya perkongsian kekayaan dan kemakmuran negara di kalangan rakyat sebuah negara. Kegagalan berbuat demikian bakal mengundang bahaya konflik yang disemarakkan oleh rasa tidak puas hati seperti mana berlaku di sesetengah negara.
Pada masa yang sama pertumbuhan pesat juga diperlukan untuk membolehkan kek ekonomi lebih besar wujud dan diagihkan supaya tiada perasaan tidak puas hati yang boleh membawa kepada persengketaan "yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu," tanpa menguntungkan sesiapa.
Ketidakpuasaan boleh menyaksikan perkembangan ekonomi negara yang rancak bukan sahaja terbantut tetapi juga menyebabkan kemajuan negara mengundur ke belakang, sedangkan apa yang sepatutnya berlaku adalah sebaliknya.
Namun begitu, perlu diakui sehebat mana pelan tindakan atau usaha yang dilakukan agar pengagihan kekayaan benar-benar saksama dan adil, segala-galanya tidak lebih hanya ilusi.
Kita tidak dapat mengharapkan semua rakyat di Malaysia akan menikmati semua kekayaan yang ada tetapi sekadar memastikan jurangnya dikurangkan seberapa kecil mungkin.
Mungkin juga ekonomi semua kaum dikembangkan melalui keupayaan kekuatan yang setara, sehingga tidak wujud lagi perbezaan penguasaan yang terlalu ketara.
Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar sejak mencapai kemerdekaan dimulai dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang semangatnya terus diterapkan dalam dasar-dasar yang sedia ada ke arah memastikan tiada kaum terpinggir terutamanya Bumiputera yang mewakili majoriti rakyat negara ini.
Malah, pada masa yang sama, dasar itu juga tidak sama sekali mengambil hak pihak lain untuk diberikan kepada pihak yang satu lagi.
Namun di sebalik kejayaan yang dicapai DEB, sasaran sebenarnya masih belum tercapai. Jurang penguasaan kekayaan ekonomi biarpun dapat dikurangkan tetapi ia masih lagi luas dan perlu dirapatkan lagi.
Bukan silap dasar kerajaan tetapi pelaksanaan yang gagal dilakukan dengan sebaik-baiknya tanpa penghayatan penuh seperti mana yang diharapkan dan juga badan atau agensi pelaksana gagal untuk bertindak balas mengikut keadaan semasa.
Kelemahan ini dikenal pasti menjadi punca utama. Ini akhirnya menyebabkan terdapat 5.1 peratus Bumiputera masih hidup di bawah garis kemiskinan dengan kadar peratusan yang lebih tinggi berbanding dengan kaum Cina (0.6 peratus) dan meskipun lebih baik berbanding kaum India (2.5 peratus).
Bagaimanapun, secara menyeluruh tidak dinafikan DEB sememangnya berjaya mengurangkan tahap kemiskinan dan pendapatan isi rumah di antara kaum serta meningkatkan golongan berpendapatan menengah Bumiputera.
Kejayaan juga dicapai dengan mengurangkan kemiskinan ketara dalam masa yang singkat terutamanya bagi masyarakat luar bandar.
Berdasarkan perangkaan yang ada sehingga 2009, jurang pendapatan antara kaum terutamanya Bumiputera dengan kaum Cina masih lagi jauh, sedangkan di antara kaum India dengan kaum Cina berjaya dikurangkan.
Dalam hal ini, langkah yang seterusnya perlu dilakukan dalam memastikan jurang pendapatan itu diatasi termasuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dan juga golongan profesional Bumiputera yang bertambah tetapi masih berkurang daripada segi bilangannya.
Pada masa ini, kadar peratusan penguasaan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara tidak berubah, sebaliknya kekal pada sekitar 19.4 peratus menyamai apa yang dicatatkan pada tahun 1990 meskipun terdapat pertumbuhannya yang pesat sepanjang tahun 1990 hingga 2006.
Dan, pada masa yang sama peratusan penguasaan ekuiti asing dilaporkan kembali mengalami peningkatan.
Perkembangan ini membimbangkan. Kerajaan harus mengambil langkah meningkatkan kekayaan Bumiputera melebihi sasaran 30 peratus supaya setanding dengan bukan Bumiputera dalam pemilikan ekuiti dan juga hartanah.
Pertumbuhan masa depan seharusnya dijana oleh kerajaan dengan menyediakan kek ekonomi lebih besar untuk dinikmati oleh semua kaum dengan bergerak ke arah menjadi sebuah negara maju.
Keadaan ini memerlukan kerajaan melihat semula dan menambah baik mana-mana usaha dan tindakan atau peranan pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan perkara berkenaan menjadi satu kenyataan.
Ini bermakna apa juga yang dilihat sebagai tidak lagi bersesuaian dengan masa, sudah sewajarnya dihapuskan atau dipinda agar menjadi lebih berkesan.
Pada masa ini, pelaksanaan dasar yang sedia ada menunjukkan jumlah pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat kekal rendah, bahkan masih gagal mencapai sasaran. Perkara ini bukan baru malah sering kali diutarakan dan juga dibahaskan secara terbuka sebelum ini.
Sebagai contoh, pemilikan 30 peratus kepentingan dalam syarikat senaraian awam sehingga kini dilihat tidak banyak membawa perubahan yang diharapkan.
Malah, kajian menunjukkan keadaan itu dilihat sebagai halangan atau rintangan kepada kemasukan pelabur asing untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Senario sebegini tidak menguntungkan dan dilihat menyukarkan kerajaan yang kini bersaing hebat daripada negara-negara seperti Vietnam, India dan China sebagai destinasi pelaburan. Ini menyebabkan berlaku penyusutan dalam pelaburan langsung asing ke dalam negara.
Berdasarkan ketidakcapaian pemilikan itu mungkin sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan memikirkan kaedah yang baru dan lebih baik.
Lagipun bayangkan dengan menguasai 30 peratus dalam sesebuah syarikat, kaum Bumiputera tidak mempunyai sebarang
suara majoriti dan hanya tidak ubah sekadar menjadi sleeping partner semata-mata.
Keadaan ini merugikan selain tidak meningkatkan bilangan profesional Bumiputera seperti mana yang diharapkan.
Mungkin sepatutnya kita perlu merenung sejenak memikirkan di mana logiknya dan mengakui ketidakupayaan kaedah itu.
Mahu atau tidak, mungkin kita terpaksa mengakui apa yang dilalukan sebelum ini telah tidak mengambil kira kepada tumpuan ke arah meningkatkan guna tenaga dan pembangunan selain penekanan kepada penyelesaian masalah secara menyuruh. Ini kerana semata-mata memenuhi hasrat untuk meraih kejayaan segera.
Pendekatan yang berbeza tetapi bukan berupa 'mi segera' perlu diambil untuk menjayakan matlamat kerana bilangan Bumiputera berkaliber untuk mencipta kejayaan besar seperti mana yang ditunjukkan oleh Petronas dan juga Permodalan Nasional Berhad.
Kenapa kelebihan dan pengalaman profesional berkenaan sama ada yang terdapat di dalam dan di luar negara tidak digunakan untuk melaksanakan pelan tindakan baru yang lebih mantap dalam mengangkat keupayaan Bumiputera menguasai kek ekonomi lebih besar.
Ini kerana tindakan kerajaan sebelum ini seperti memperuntukkan ekuiti dan saham khas kepada bumiputera bagi terbitan baru ke Bursa Malaysia misalnya menyaksikan berlakunya penjualan balik hanya untuk mendapat keuntungan jangka pendek selain wujudnya kegiatan 'ali baba' menggunakan nama Bumiputera.
Berdasarkan perangkaan sejumlah RM54 bilion ekuiti yang diagihkan, hanya RM2 bilion kekal kerana lainnya dijual untuk meraih kekayaan bersifat sementara.
Lagipun, pada masa yang sama peruntukan 30 peratus kepada pelabur Bumiputera juga mempunyai halangan kerana ketiadaan rakan kongsi Bumiputera yang tulen dan wujudnya kekangan kewangan di kalangan usahawan berkenaan.
Sehubungan itu, kerajaan tidak lagi boleh sekadar mengharapkan kejayaan dasar yang sedia ada tanpa memikirkan yang lainnya.
Ini kerana tidak semua yang dirancang sebelum ini sesuai dengan situasi semasa, sekali gus menyebabkan matlamat sasaran yang mahu dicapai tidak menyeluruh, sedangkan kepentingan Bumiputera dipertahankan dan diberi penambahbaikan.
Perkembangan ini bermakna satu bentuk pemikiran di luar kebiasaan perlu diambil seperti menerokai penguasaan syarikat-syarikat persendirian yang berdaya maju selain syarikat senaraian awam yang mana kepentingan pegangannya lebih banyak dilakukan melalui pelaburan skim-skim amanah saham PNB.
Selain itu, kerajaan mungkin perlu menyemarakkan semula langkah perkongsian bijak yang pernah dilaksanakan satu ketika dahulu tetapi perkembangannya seolah-olah mati begitu sahaja dalam menggalakkan penguasaan ekonomi yang lebih ideal, sekali gus menghapuskan prasangka hanya satu kaum sahaja yang dibantu.
Menyedari hakikat persaingan yang ada, kerajaan perlu mengambil tindakan yang berani setelah mengambil kira kesan dan faedah yang bakal diraih. Pelan tindakan perlu disertakan sokongan yang mampu memastikan kejayaan.
Perubahan-perubahan juga boleh dilakukan serta-merta untuk mengelak pembaziran dan juga kerugian kepada negara.



sumber Utusan Malaysia 29 Jun 2009
Oleh MOWARDI MAHMUD ialah Pengarang Ekonomi Utusan Malaysia
bisnes@utusan.com.my

Saturday, June 20, 2009

SELAMAT HARI BAPA

Salam semua,

Tarikh Hari Bapa adalah pada hari Ahad minggu ketiga bulan Jun pada setiap tahun, ini bermakna tahun ini jatuh pada 21 Jun 2009. Seperti biasa hari bapa kurang disambut dan kurang mendapat sambutan atau diingati berbanding hari ibu. Walau apapun, sambutan hari ibubapa perlulah sentiasa diingati sepanjang tahun. Tanpa ibubapa siapalah kita.


Seandai anda masih mempunyai bapa, raikanlah sesuatu sempena hari bapa ini kerana jasa mereka menjaga dan membesarkankan kita tidak mungkin dapat dibalas, malah mereka tidak pernah meminta untuk dibalas.

Kasihnya Ibu membawa ke syurga,
Kasihnya Ayah sepanjang masa
.

SELAMAT HARI BAPA

Ayah Dan Ibu
Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan Matahari

Yang dikurniakan dari Ilahi
Ayah dan ibu lah
Mesti dihormati

Ayah dan ibu
Wali keramat
Pada mereka kita beri hormat
Bagilah tunjuk ajar dan
Nasihat
Supaya hidup
Supaya hidup kita akan selamat

Saturday, June 13, 2009

Dato' Rosnah Majid





Salam Sejahtera,

Saya merasa teruja kerana dapat bersama YBhg Dato' Rosnah Majid, seorang tokoh, bekas wartawan wanita pertama dijemput oleh Ayatollah Khomeini - Pemimpin Revolusi Iran. Dato' Rosnah juga seorang Penganalisis Ekonomi Antarabangsa & Konsulat Pelaburan Asing (USA) ke Malaysia dan juga Bekas EXCO Kerajaan Negeri Kedah.

Malam itu topik perbincangan bertajuk "Halatuju, Cabaran & Masa Depan Ekonomi Belia Melayu". Speaker memberitahu masalah dan peluang dalam perniagaan adalah diri sendiri kerana diri kitalah yang mahu atau tidak untuk merebut peluang untuk berjaya. Peluang sangat luas di luar dan kita yang perlu bekerja kuat untuk merebutnya.

Speaker menyarankan kami untuk banyakan membaca, menimba ilmu dan berkawan untuk berjaya. Dengan pengalaman yang dikongsi bersama speaker telah memberikan kami semangat dan sedikit ilmu untuk kami berfikir menceburi dan memilih bidang perniagaan atau keusahawanan sebagai kerjaya.

Apapun malam itu adalah malam yang telah memberikan pengalaman yang bermakna pada kami. terima kasih YBhg Dato' Rosnah Majid.

Monday, June 8, 2009

Belia-Perpaduan Negara






Salam sejahtera dan berjumpa lagi. Malam jumaat yang lepas seperti biasa saya terlibat dengan program Bicara Anak Merdeka dan speakernya seperti sedia maklum YM Tengku Naufal YM Tengku Mansor seorang peguam dan Jurulatih bebas.

Speaker menyeru satu gerakan pemikiran baru harus dimulakan dan perjuangan yang telah dilakukan oleh golongan terdahulu perlukan kesinambungan. Masyarakat sekarang terutamanya golongan belia perlu sedar hakikat perlembagaan, kita (orang Melayu) menerima untuk duduk bersama dengan kaum-kaum lain dan mereka juga telah bersetuju kita diberi hak keistimewaan dalam Negara Malaysia ini.

Speaker juga menekankan belia masa kini harus faham tuntutan dasar perjuangan dan meminta para belia untuk fokuskan perjuangan daripada segi pendidikan (ilmu) dan kebajikan sahaja. Untuk menyelamatkan belia, para pemimpin harus tidak ‘exclusive’ tetapi ‘inclusive’ dan berWawasan untuk menentukan ‘magnitud’ perjuangan. Belia harus pandai mengadaptasi dan pandai menelan perkara yang dianggap sensitif selagi boleh diterima demi memastikan keharmonian Negara, dan jika perlu memuntahkan kembali sekiranya perlu.

Menurut Imam Syafie; “untuk melihat masa hadapan sesebuah Negara, kita harus melihat keadaan anak-anak belianya”.

Speaker mencadangkan, untuk melakukan pembaharuan, jangan fokus dahulu pada 2 golongan ekstrimis, tetapi fokus pertama pada golongan atas pagar. Speaker juga menggariskan untuk mencapai perpaduan :

-Para belia sendiri harus bersatu padu
-Belia harus berintelek
-Belia harus inclusive
-Belia harus berfikiran terbuka dan berwawasan

Tepuk dada, tanya MINDA. ikut hati akan mati, ikut rasa akan binasa. Jumpa lagi.

Thursday, June 4, 2009

BELIA GLOKAL


Belia, merujuk Kamus Dewan edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka 2005 merupakan golongan muda secara keseluruhannya (baik lelaki mahupun wanita), pemuda dan pemudi, tunggak kepada kesinambungan warisan Negara yang didukung dalam kepelbagaian adat, budaya dan resam masyarakat yang mendiami bumi bertuah ini.

Peranan yang dimainkan oleh golongan belia ini sama berat dengan golongan yang lain dalam usaha untuk terus menyumbang khidmat bakti dalam membangunkan negara bagi mencapai hasrat dalam menjayakan Wawasan 2020 kelak.

Walau bagaimanapun berdasarkan gambaran yang diperolehi mengenai penglibatan belia masa kini, peranan mereka tidak begitu memberangsangkan. Ini jelas dapat dilihat dengan banyaknya kes-kes salah laku moral dan jenayah, yang meningkat disebabkan oleh banyak faktor yang menyumbang ke arah insiden yang tidak baik ini. Kajian demi kajian telah dilakukan namun kadar kes yang dilaporkan tidak begitu berkurangan. Adakah sememangnya salah belia yang tidak mahu berfikir panjang akan akibat dan musibah yang bakal diterima jika melakukan perkara yang tidak bermanfaat itu? Atau juga masyarakat tidak menyokong akan kehadiran mereka ini, sedangkan yang melakukan kegiatan tidak bermoral itu mungkin hanya sebilangan sahaja sehingga melabelkan bahawa semua belia memang tidak menyumbang kepada Negara, hanya menghabiskan duit cukai rakyat yang perlu dibayar kepada kerajaan.

Ibarat seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit. Masalah ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana pewaris bangsa ini bakal mengepalai tanah jajahan yang berdaulat dan jika busuk hidupannya, mana mungkin udara yang bakal dihirup sesegar taman syurgawi.

Dianggarkan lebih 45% daripada rakyat Malaysia terdiri daripada golongan belia yang merupakan bank tenaga dan pemikir dalam menjana pembangunan negara. Memahami persoalan kedudukan pemimpin dan organisasi belia dalam konteks pembinaan golongan muda yang ditimbulkan ialah mengapa tunggak yang telah lama wujud ini seperti tidak bermaya untuk membina belia? Adakah mereka tenggelam dalam permasalahan dan tuntutan masa? Atau adakah pemimpin dan organisasi belia tidak mempunyai persediaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang datang secara mendadak? Semua persoalan ini merupakan cabaran bagi pemimpin dan organisasi belia untuk menilai keberkesanan peranan yang dimainkan selama ini serta kewujudan mereka dalam menyusun strategi untuk terus menyumbang kepada penyediaan mereka sebagai pewaris tamadun bangsa yang berwawasan.

Tunggak kesinambungan kepimpinan negara terletak di atas bahu kepimpinan belia khususnya dalam bentuk kepimpinan organisasi. Peluang untuk terus menyerlahkan potensi ini sememangnya terbuka. Terpulang kepada belia untuk merebutnya.

Sebagaimana kita sedia maklum, Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, YAB Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, telah menggariskan 5 tindakan dan langkah utama bagi mencapai hasrat dan matlamat Melayu Glokal yang meliputi :

1. Menjana Melayu Glokal Melalui Ilmu dan Pendidikan
2. Menjana Ekonomi Untuk Pembangunan Melayu Glokal
3. Melayu Glokal Berpaksikan Penghayatan Agama
4. Memperkuatkan Jati Diri Melayu Glokal Melalui Transformasi Budaya
5. Memperkasakan Politik Melayu Glokal Berteraskan Idealisme Perjuangan

Jelas, sekiranya kelima-lima elemen utama ini digerakkan dan dipacu dengan sebaik mungkin, nescaya matlamat menghasilkan sebuah bangsa yang memiliki acuan glokal yang sempurna dapat menjadi satu realiti.

Malah konsep ‘Melayu Glokal’ yang diimpikan, Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional, membawa maksud, di samping kita hebat di dalam negara, kita juga mesti hebat berperanan di arena antarabangsa. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun akal kita menerjah ke pelusuk dunia. Melayu Glokal bertunjangkan budaya Melayu dan ajaran agama Islam yang suci. Pada ketika yang sama, kita tetap berani meneroka dunia yang penuh pancaroba ini.

Wednesday, June 3, 2009

JEMPUTAN


SPEAKER : YM TENGKU NAUFAL YM TENGKU MANSOR
TAJUK : HALA TUJU & PERMASALAHAN BELIA DALAM PERPADUAN NEGARA


PROGRAM BICARA ANAK MERDEKA


8.00 MALAM
05 JUN 2009 (JUMAAT)
CAFE MERDEKA, MENARA DATO' ONN
PWTC, KUALA LUMPUR

ANJURAN : SEKRETARIAT BICARA ANAK MERDEKA

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI, SEMUA DIJEMPUT HADIR