Thursday, June 4, 2009

BELIA GLOKAL


Belia, merujuk Kamus Dewan edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka 2005 merupakan golongan muda secara keseluruhannya (baik lelaki mahupun wanita), pemuda dan pemudi, tunggak kepada kesinambungan warisan Negara yang didukung dalam kepelbagaian adat, budaya dan resam masyarakat yang mendiami bumi bertuah ini.

Peranan yang dimainkan oleh golongan belia ini sama berat dengan golongan yang lain dalam usaha untuk terus menyumbang khidmat bakti dalam membangunkan negara bagi mencapai hasrat dalam menjayakan Wawasan 2020 kelak.

Walau bagaimanapun berdasarkan gambaran yang diperolehi mengenai penglibatan belia masa kini, peranan mereka tidak begitu memberangsangkan. Ini jelas dapat dilihat dengan banyaknya kes-kes salah laku moral dan jenayah, yang meningkat disebabkan oleh banyak faktor yang menyumbang ke arah insiden yang tidak baik ini. Kajian demi kajian telah dilakukan namun kadar kes yang dilaporkan tidak begitu berkurangan. Adakah sememangnya salah belia yang tidak mahu berfikir panjang akan akibat dan musibah yang bakal diterima jika melakukan perkara yang tidak bermanfaat itu? Atau juga masyarakat tidak menyokong akan kehadiran mereka ini, sedangkan yang melakukan kegiatan tidak bermoral itu mungkin hanya sebilangan sahaja sehingga melabelkan bahawa semua belia memang tidak menyumbang kepada Negara, hanya menghabiskan duit cukai rakyat yang perlu dibayar kepada kerajaan.

Ibarat seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit. Masalah ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana pewaris bangsa ini bakal mengepalai tanah jajahan yang berdaulat dan jika busuk hidupannya, mana mungkin udara yang bakal dihirup sesegar taman syurgawi.

Dianggarkan lebih 45% daripada rakyat Malaysia terdiri daripada golongan belia yang merupakan bank tenaga dan pemikir dalam menjana pembangunan negara. Memahami persoalan kedudukan pemimpin dan organisasi belia dalam konteks pembinaan golongan muda yang ditimbulkan ialah mengapa tunggak yang telah lama wujud ini seperti tidak bermaya untuk membina belia? Adakah mereka tenggelam dalam permasalahan dan tuntutan masa? Atau adakah pemimpin dan organisasi belia tidak mempunyai persediaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang datang secara mendadak? Semua persoalan ini merupakan cabaran bagi pemimpin dan organisasi belia untuk menilai keberkesanan peranan yang dimainkan selama ini serta kewujudan mereka dalam menyusun strategi untuk terus menyumbang kepada penyediaan mereka sebagai pewaris tamadun bangsa yang berwawasan.

Tunggak kesinambungan kepimpinan negara terletak di atas bahu kepimpinan belia khususnya dalam bentuk kepimpinan organisasi. Peluang untuk terus menyerlahkan potensi ini sememangnya terbuka. Terpulang kepada belia untuk merebutnya.

Sebagaimana kita sedia maklum, Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, YAB Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, telah menggariskan 5 tindakan dan langkah utama bagi mencapai hasrat dan matlamat Melayu Glokal yang meliputi :

1. Menjana Melayu Glokal Melalui Ilmu dan Pendidikan
2. Menjana Ekonomi Untuk Pembangunan Melayu Glokal
3. Melayu Glokal Berpaksikan Penghayatan Agama
4. Memperkuatkan Jati Diri Melayu Glokal Melalui Transformasi Budaya
5. Memperkasakan Politik Melayu Glokal Berteraskan Idealisme Perjuangan

Jelas, sekiranya kelima-lima elemen utama ini digerakkan dan dipacu dengan sebaik mungkin, nescaya matlamat menghasilkan sebuah bangsa yang memiliki acuan glokal yang sempurna dapat menjadi satu realiti.

Malah konsep ‘Melayu Glokal’ yang diimpikan, Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional, membawa maksud, di samping kita hebat di dalam negara, kita juga mesti hebat berperanan di arena antarabangsa. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun akal kita menerjah ke pelusuk dunia. Melayu Glokal bertunjangkan budaya Melayu dan ajaran agama Islam yang suci. Pada ketika yang sama, kita tetap berani meneroka dunia yang penuh pancaroba ini.

No comments:

Post a Comment