Friday, January 8, 2010

Kalimah "Allah"


Salam sejahtera,

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Majalah Mingguan Katolik, The Harold mempunyai hak dalam perlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah didalam penerbitan majalah mereka. Keputusan ini adalah hasil tindakan pihak penerbit majalah berkenaan membawa kes ini ke mahkamah setelah Kementerian Dalam Negeri mengharamkan mereka menggunakan nama ‘Allah’ didalam penerbitan majalah tersebut.

Akibat dari keputusan ini, ia telah menerbitkan rasa tidak puas hati kepada masyarakat Islam kerana secara umum, mereka berpendapat bahawa kata nama ‘Allah’ hanya merujuk kepada tuhan masyarakat Islam. Tambahan pula, ‘Allah’ merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan apabila ia digunakan secara meluas oleh penganut katolik, ia dikhuatiri akan menerbitkan kekeliruan.

Setakat hari ini, tiada wadah yang telah diusahakan bagi membincangkan hal ini. Hasilnya, isu ini menerbitkan lebih persoalan. Antaranya:

1. Walaupun didalam Perlembagaan Persekutuan tidak menjelaskan secara khusus bahawa Tuhan bagi penganut Agama Islam adalah Allah, namun, secara adat (custom)kita telah mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan kepada Umat Islam yang tidak beranak dan Yang Maha Esa. Ini sangat bertentangan apabila nama Allah digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Masyarakat Kristian, kerana menurut kepercayaan mereka, dalam konsep triniti tuhan merujuk kepada tiga iaitu ‘Jesus Christ’, ‘Spirit’ dan ‘Mary’. Apabila dipersetujui bahawa mereka mempunyai hak dalam perlembagaan, bukankah ini telah bertentangan dengan adat yang menjadi salah satu sumber yang jelas dalam perundangan? Dan apabila penggunaan ini dibenarkan, bukankah ia bakal menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat tentang penggunaan sebenar nama tersebut?

2. Apabila isu-isu membabitkan agama Islam sebagai subjek, bukankah ia menjadi kuasa mutlak mahkamah syariah dibawah Artikel 121 1A Perlembagaan Persekutuan dan mahkamah sivil tiada hak untuk masuk campur. Justeru mengapakah isu ini tidak diputuskan oleh mahkamah syariah?

3. Tidakkah mahkamah terfikir dalam membuat keputusan bahawa apabila Majalah The Harold di benarkan untuk menggunakan nama Allah, ia bakal mencetuskan kemarahan umat Islam lantas bakal mencetuskan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam?bukankah ketenteraman awam (public order) merupakan matlamat utama dalam membuat sebarang keputusan ataupun matlamat sistem perundangan itu sendiri. Justeru, adakah dalam hal ini mahkamah adalah terkhilaf dalam menentukan hak mana yang patut didahulukan?




No comments:

Post a Comment