Monday, January 4, 2010

Program Back To School Glokal





Salam Semua & Salam Tahun 2010,

Pada 31 Disember 2009 yang lalu, Pertubuhan Belia Glokal Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menganjurkan satu Program “ Back To School”, program penyampaian bantuan peralatan persekolahan dan sumbangan kewangan untuk anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan telah diadakan di Dewan Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju Kuala Lumpur.

Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan belia berkeluarga yang kurang bernasib baik dalam membuat persiapan menjelang musim baru persekolahan. Bantuan berupa pakaian dan peralatan persekolahan ini juga diharap dapat meningkatkan semangat dan moral anak-anak ini untuk terus belajar dan dapat merasai seperti anak-anak yang lain. Program ini juga bertujuan merapatkan ukhuwah sesama belia agar dapat membentuk sebuah masyarakat pewaris yang harmonis.

Seramai 130 orang anak-anak yang kurang berkemampuan berusia 7 hingga 12 tahun telah dipilih daripada sekitar Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang untuk menerima sumbangan peralatan persekolahan tersebut. Setiap seorang peserta menerima RM300 untuk peralatan sekolah dan RM 100 tunai sebagai bantuan kewangan. Penganjur memperuntukan sebanyak RM 39000 untuk peralatan sekolah dan RM13000 tunai untuk diagihkan kepada peserta.

Saya merasa bangga kerana program ini telah mencapai sasaran membantu golongan belia yang berkeluarga dan mempunyai pendapatan rendah serta mempunyai ahli keluarga yang ramai. Ini sejajar dengan matlamat kami dalam membantu dan memastikan kebajikan belia terbela dan diambil peduli dan diharap usaha sekulimit ini dapat meringankan beban mereka.

Program ini telah di rasmikan oleh En. Jamaluddin Abdullah, Tmbalan Pengarah Jabatan Pelajaran wilayah Persekutuan. Turut hadir En. Mohamad Hisyam Zakaria, Pengurus Jabatan Dakwah dan Tugas-Tugas Khas Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Tuan Haji Murshidi Abd Hamid, Ketua Imam Masjid Usamah Bin Zaid Wangsa Maju dan En. Azha Mustpha, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju.

Program ini telah bermula dengan solat Maghrib diikuti dengan majlis tahlil sebelum majlis penyampaian bantuan sejurus selepas solat Isyak. Pihak penganjur berharap, program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan menjadi program tahunan serta menjadi harapan agar usaha penganjur dapat membantu anak-anak ini menempuh musim persekolahan seperti anak-anak yang lain.

Terima Kasih yang tak terhingga kepada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana telah membantu memberi peruntukan dan Masjid Usamah Bin Zaid serta semua yang telah menyumbang dalam menjayakan program tersebut.

No comments:

Post a Comment