Saturday, December 12, 2009

Malaysia Menang !!!


Salam Kemenangan,

Malaysia telah melakar satu kejutan terbesar apabila telah membenam juara bertahan, Thailand 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A untuk melangkah ke separuh akhir, semalam.

Ahmad Fakri Saarani menjadi pemusnah juara lapan kali berturut-turut Sukan SEA mulai 1983. Thailand, yang tidak pernah gagal ke separuh akhir Sukan SEA sejak 36 tahun lalu, iaitu mulai Sukan SEA 1963, hampir menafikan hajat Malaysia untuk melangkah seterusnya memenangi pingat dan kali terakhir Malaysia memenangi emas acara bola sepak Sukan SEA ialah 20 tahun lalu.

Kemenangan ini amat bermakna kepada peminat bola sepak tanah air khususnya dan rakyat Malaysia amnya semangat para pemain ini haruslah dipuji yang tetap tenang walaupun beraksi di bawah tekanan setelah ketinggalan. Kemenangan ini juga telah menyatukan semangat rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik.

Apa yang telah dicapai oleh pasukan Negara memang berbaloi dengan kesungguhan pemain yang beraksi bermati-matian untuk memburu kemenangan harus dipuji dan membanggakan.

Tahniah sekali lagi kepada pengurusan pasukan bola sepak Malaysia terutamanya kepada jurulatih K.Rajagopal dan para pemain. Majulah Sukan Untuk Negara.

Tuesday, November 24, 2009

Bengkel Kajian Pengurusan Pelajar Universiti





Salam semua,

Pertubuhan Belia Glokal Wilayah Persekutuan dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia telah menganjurkan Bengkel Kajian Pengurusan Persatuan Pelajar Universiti di Kawasan Lembah Klang yang telah diadakan pada 20hb hingga 22hb November 2009 yang lalu bertempat di Genting Permai Resort, Genting Highland. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YBhg Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia dan Majlis Penutup pula YBhg Puan Seri Czarina Abdullah, Penasihat Kehormat Pertubuhan Belia Glokal Wilayah Persekutuan.

Bengkel ini telah melibatkan 150 orang peserta yang yerdiri daripada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS sekitar lembah Klang.

Objektif bengkel ini bertujuan mengenalpasti kehendak dan keperluan persatuan-persatuan pelajar universiti dikawasan lembah klang dan mendorong para pelajar universiti untuk bergerak lebih aktif didalam persatuan. Bengkel ini juga memberi tips atau tunjuk ajar yang betul kepada para pelajar universiti tentang cara menguruskan sesebuah persatuan.

Bengkel ini juga meningkatkan mutu dan kualiti persatuan pelajar di universiti agar ianya dapat dijadikan contoh atau role model kepada persatuan yang lain. Mengukur tahap keberkesanan persatuan universiti dikawasan lembah klang serta menambah baik kekurangan dari segi kemudahan untuk kegunaan para persatuan universiti di Lembah Klang serta memupuk semangat berkerjasama diantara semua kaum dalam berpesatuan.Mendorong kepada penubuhan persatuan yang sah dan berdaftar dikalangan para pelajar.
Ucapan terima kasih kepada Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia kerana telah bekerjasama dalam menjayakan program tersebut.
Adalah diharap usaha bagi melahirkan persatuan-persatuan yang aktif dan berdaya saing di universiti akan dapat dijayakan dan seterusnya menjamin kepada pembentukan masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai-nilai kerjasama dan rukunegara yang aman damai.

Wednesday, September 16, 2009

Malam sentuhan Kasih DiRaja Nur Ramadhan






Salam semua,

PERTUBUHAN BELIA GLOKAL WILAYAH PERSEKUTUAN telah mengadakan satu majlis Malam Sentuhan Kasih DiRaja Nur Ramadhan pada 10 September 2009 yang lalu bertempat di Grand Ballroom Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG TUANKU NUR ZAHIRAH telah berkenan mencemar duli untuk berangkat ke majlis tersebut dan seterusnya menyampaikan bantuan persiapan hari raya serta duit raya kepada 100 orang anak-anak yatim dan kurang berkemampuan di sekitar Wilayah Persekutuan untuk persiapan Aidilfitri yang akan datang.

Selain menyampaikan sumbangan, majlis ini juga memberi peluang dan kesempatan kepada 100 orang anak-anak yatim dan kurang berkemampuan di sekitar Wilayah Persekutuan ini untuk berbuka puasa bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Turut hadir bagi memeriahkan dan menyokong majlis beberapa golongan kerabat DiRaja dan orang-orang kenamaan. Kumpulan nasyid Hijjaz dan juara bintang RTM telah membuat persembahan pada majlis tersebut.

Pertubuhan Belia Glokal Wilayah Persekutuan mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada semua pihak yang telah membantu secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.

Sunday, August 23, 2009

Salam Ramadhan 1403H


Salam Ramadhan 1430H.

Sempena bulan Ramadhan yang telah menjelang, saya dengan rasa rendah hati dan kecil diri ingin memohon kemaafan sekiranya ada tersalah tutur kata dan tersilap bahasa dalam keadaan saya sedar atau pun tidak selama bersama-sama rakan2 di dalam ruangan tanpa wajah ini.

Semoga kita sama-sama dapat menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadhan kali ini dengan lebih baik dari tahun sebelumnya. InsyaAllah.

Sunday, August 2, 2009

Akta Keselamatan Dalam Negeri mesti dikekalkan


DALAM kupasan media dan komentar umum mutakhir ini banyak kecenderungan untuk meminta pihak berkuasa memansuhkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas alasan sama ada telah usang, ketinggalan zaman, tidak berperi kemanusiaan, melanggar hak asasi, bercorak kuku besi dan pelbagai label yang menggambarkan rasa kurang senang mengenai akta tersebut.

Apakah semua yang diperkatakan itu benar, difahami atau disedari oleh pihak terlibat ataupun ia hanya semata-mata menjadi umpan peribadi atas kepentingan politik dan keterlibatan pihak berkaitan dalam elemen-elemen yang membolehkan mereka itu dikenakan tindakan melalui ISA.

Inilah yang sebenarnya yang perlu kita perhalusi supaya sebagai rakyat Malaysia yang sudah pun mengalami saat aman dan makmur selama lebih lima dekad tidak terperangkap dengan tuntutan demokrasi tanpa sempadan yang sedang mengugat negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) sekarang.

Oleh itu, untuk memberikan justifikasi akta berkenaan, kita perlu melihat ISA ini secara yang jujur, ikhlas dan dengan fikiran terbuka.

Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu akta yang diwujudkan bagi tujuan pencegahan terhadap anasir anti nasional dan subversif. Akta ini terletak di bawah bidang kuasa Perkara 149 Perlembagaan Malaysia 1957.

Penguatkuasaan akta ini diterjemahkan dalam Perkara 151 Perlembagaan Malaysia pada tahun 1960 dan ia bersifat proaktif dalam menangani masalah-masalah kompleks yang sukar ditangani melalui prosedur biasa dan memerlukan tindakan segera demi keselamatan awam dan kesejahteraan ramai.

Banyak negara maju termasuk AS dan Australia cuba mengadaptasi akta ini dalam sistem perundangan mereka walaupun pada masa yang sama mencemuh pelaksanaannya di Malaysia.

Sejarah akta ini mula diperkenalkan oleh British melalui Pesuruh Jaya Tingginya Sir Edward Gent pada tahun 1948 bagi mengekang pengaruh dan keganasan komunis di Malaya pada ketika itu. Oleh kerana keberkesanannya maka ia masih terus terpakai sehingga kini setelah melalui beberapa proses pengubahsuaian.

Dalam Perkara 149 Fasa (1) telah mentafsir bahawa perbuatan subversif itu adalah satu tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, atau menimbulkan ancaman oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan, untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu atau untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan di dalam Persekutuan; atau untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya.

Dengan sedikit kupasan ringkas mengenai akta tersebut, kita melihat bahawa Malaysia telah mendapat terlalu banyak manfaat dalam mewujudkan situasi yang stabil, menyediakan platform bagi pembangunan pesatnya selama lebih lima dekad tanpa sebarang halangan.

Banyak perkara yang sukar untuk dibanteras sekiranya akta ini tidak wujud. Kerana jenayah terancang, ancaman keselamatan dan anasir subversif selalunya wujud secara sistematik dan tidak mudah untuk menanganinya sebagaimana kita menangani jenayah biasa.

Mungkin apa yang sedang ditonjolkan pada hari ini adalah kekhuatiran umum terhadap penyalahgunaan akta berkenaan oleh pihak berkuasa dengan berlakunya penahanan-penahanan atas alasanalasan yang tidak relevan. Bagaimanapun, ia bukanlah satu alasan yang kukuh supaya ISA mesti dimansuhkan. Kerana ia adalah kubu atau benteng terakhir bagi menyelamatkan negara daripada tercebur ke kancah kemusnahan.

Perbuatan memansuhkan akta berkenaan adalah umpama membakar kelambu akibat perbuatan seekor nyamuk. Walhal, masalah utama adalah bukan mengenai akta itu sendiri tetapi bagaimana ia dikuatkuasakan. Itulah yang patut menjadi asas bagi memperbaiki keadaan dan bukan sebaliknya.

Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan tidak melanggar sebarang undang-undang dan peraturan, kita tidak sepatutnya tertekan atau terlebih takut dengan khabar angin, momokan atau dakyah golongan yang mempunyai agenda peribadi sehingga sanggup menggadai kepentingan negara bagi mencapai cita-cita.

Mari kita kembalikan fokus dan neraca pertimbangan akal kita kepada perkara yang lebih utama supaya kita tidak tersalah arah.

Sumber Utusan Malaysia ARKIB : 08/10/2008
DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Rawang, Selangor

Monday, July 20, 2009

Facebook pupuk belia berpolitik



KUALA LUMPUR 19 Julai – Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan sepenuhnya laman web sosial Facebook bagi menarik golongan belia untuk berpolitik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, langkah itu wajar kerana Facebook merupakan laman yang paling digemari golongan tersebut pada masa ini.
Katanya, berdasarkan pengalaman peribadinya, beliau ‘bersahabat’ dengan lebih 2,800 belia menerusi Facebook yang mana mereka masih berminat berbicara tentang politik.
‘‘Daripada apa yang saya lihat dalam Facebook, adalah tidak benar kalau kita katakan orang muda tidak berminat dengan politik. Mereka minat politik, tetapi dengan cara yang baru dan berbeza.
‘‘Jadi, kalau hendak tingkatkan penyertaan orang muda dalam politik, sistem politik yang sedia ada perlulah dipinda sedikit untuk memberi ruang kepada golongan muda,’’ katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Saifuddin berkata demikian kepada pemberita pada majlis meraikan sahabat-sahabat Facebook beliau dan genap 100 hari menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di Saloma Bistro, Jalan Ampang di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, sebagai contoh antara pandangan yang diutarakan kepada beliau melalui Facebook ialah ramai anak muda yang menyokong BN, tetapi sukar hendak jadi ahli mana-mana parti komponen dalam BN.
‘‘Jadi, mereka minta cadangkan tubuh Kelab BN supaya mereka boleh sokong BN dan jadi ahli BN tanpa jadi ahli mana-mana badan gabungan.
‘‘Ini kerana ramai golongan muda pada hari ini adalah bukan Melayu, Cina mahupun India hasil daripada perkahwinan campur. Oleh itu, agak sukar bagi mereka untuk menyertai UMNO, MCA atau MIC,’’ katanya sambil menambah golongan itu tetap menyokong BN.
Saifuddin menambah, terdapat juga di kalangan orang muda yang tidak ada ketaatan kepada mana-mana organisasi atau ideologi politik.
‘‘Golongan ini berfikir berdasarkan pandangan peribadi. Perkara yang dirasai betul, mereka akan katakan betul dan yang salah mereka akan kata salah.
‘‘Golongan muda pada hari ini juga lebih tertarik jika
suara mereka didengar tidak setakat musim pilihan raya sahaja, tetapi sepanjang masa,’’ katanya.
Tambah beliau, bagi mereka proses demokrasi tidak sepatutnya dipamerkan pada setiap lima tahun sekali sahaja dan pandangan itu turut diluahkan dalam Facebook.
Beliau turut berhasrat untuk menambah bilangan sahabat dalam Facebook kepada 5,000 orang menjelang penghujung tahun ini.
‘‘Saya seronok menggunakan Facebook, namun agak mustahil untuk saya menggunakan laman web itu setiap hari. Nanti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyangka saya tidak ada kerja pula,’’ katanya secara berseloroh.
Pada majlis yang sama, Saifuddin turut melancarkan buku elektronik beliau yang pertama bertajuk Kalau Saya Mahasiswa yang boleh dibaca secara percuma di www.saifuddinabdullah.com.my
Menurutnya, dalam buku berkenaan, beliau menceritakan pengalaman dan pengamatannya dalam gerakan mahasiswa dulu dan sekarang selain menggaris apa yang akan dilakukan untuk memperkasa gerakan mahasiswa.
Sumber Utusan Malaysia 20 Julai 2009/27 Rejab 1430

Monday, July 13, 2009

Usaha Kurangkan Beban Rakyat


Terima Kasih kepada kerajaan kerana peka kepada masalah rakyat dan sedia mengambil inisiatif mengkaji mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa dibayar oleh rakyat untuk pengangkutan termasuk mengenakan kadar tol yang tidak membebankan.

Perdana Menteri telah mengumumkan untuk memberikan diskaun 20% kadar tol kepada pengguna SmartTag dan Touch ‘n Go yang menggunakannya 80 kali sebulan mulai 1 September ini. Perkara ini bertepatan dengan suasana masyarakat sekarang yang banyak menggunakan kenderaan persendirian mereka terutama warga kota. yang boleh dikatakan lebih 2 juta kenderaan dalam bandaraya Kuala Lumpur pada waktu puncak.
Selain mengurangkan perbelanjaan rakyat, kerajaan juga akan memberikan tumpuan bagi meningkatkan gaji bulanan penduduk negara ini yang disifatkan masih rendah khususnya di kalangan masyarakat luar bandar supaya mereka tidak terpinggir. Pengumuman ini telah dibuat sempena 100 hari pentadbiran Perdana Menteri.

Apapun usaha kerajaan dalam memberikan sedikit keselesaan dan membantu meringankan bebanan rakyat amat dialu-alukan dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu masa kini. Semoga usaha ini peroleh kejayaaan.

Tuesday, July 7, 2009

Konsep 1Malaysia bakal alami evolusi

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, konsep 1Malaysia bukan satu dasar yang tetap sebaliknya boleh mengalami evolusi dan menerima input-input baru dari semasa ke semasa.
Menurut Perdana Menteri, proses penambahbaikan nilai-nilai murni ke atas dasar itu boleh berlaku mengikut peredaran waktu.
'Nilai-nilai murni dalam 1Malaysia berasaskan saling hormat menghormati, merendah diri dan bersederhana iaitu tidak ekstrem serta bijaksana.
''Sesuai dengan masa yang dilalui, kita boleh memperbaiki nilai-nilai aspirasi itu," katanya.
Beliau berucap pada majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri anjuran Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Sri Satria di sini hari ini.

Najib menjelaskan, konsep 1Malaysia sebenarnya menekankan kepada sikap penerimaan rakyat terhadap kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang terdapat di negara ini.
''Selain setakat bertoleransi, sikap menerima (kepelbagaian) adalah konsep yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata, konsep penerimaan itu boleh menjadi suatu kekuatan strategik kepada Malaysia iaitu sebagai pintu masuk untuk mengembangkan ekonomi dan sektor pelancongan.
''Ini juga sesuai untuk dakwah iaitu memperlihatkan Malaysia sebagai negara yang mengamal Islam tetapi pada masa yang sama menerima dan menghormati orang lain," katanya.
Najib yang juga Penaung Bakti bagaimanapun mengingatkan bahawa konsep 1Malaysia tidak lari daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan.
''1Malaysia mengiktiraf Perlembagaan dan bukannya seperti pembangkang dengan konsep Malaysian Malaysia yang tidak berpaksi kepada Perlembagaan," tegas beliau.
Selain itu beliau menjelaskan, teras ketiga 1Malaysia pula berasaskan kepada keadilan sosial iaitu memastikan kerajaan berlaku adil kepada semua kaum.
''Kita mesti berlaku adil kepada semua pihak, kalau masyarakat miskin perlukan bantuan, kita perlu membantu mereka.
''Kalau anak-anak mempunyai pencapaian tinggi, bagi melanjutkan pelajaran, bukan sahaja mereka yang tidak mampu malah ada yang bergaji RM10,000 sebulan turut berasa tertekan," katanya.
Kata beliau: ''Ini (menerusi 1Malaysia) kita adakan bajet yang bersesuaian manakala mereka di luar bandar pula diberikan kelonggaran dengan mengambil kira latar belakang mereka."

sumber Utusan Malaysia 08 Julai 2009/15 Rejab 1430

Saturday, July 4, 2009

Angkasawan Negara






Salam sejahtera.

Minggu ni kami berasa bertuah kerana berpeluang beramah mesra dan berkongsi pengalaman bersama Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed yang telah sudi hadir walaupun 'short notice' untuk bersama dalam program Bicara Anak Merdeka siri 7.


Beliau telah menceritakan pengalaman semasa menjalani latihan di Russia. Banyak pengalaman menarik di kongsi antaranya bagaimana sukar menjalani kehidupan dalam keadaan '0 graviti'. Beliau juga berkongsi hasil kajian yang telah dibuat dan merasakan program angkasawan ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa demi kemajuan dan pembangunan negara dari segi ekonomi, pendidikan dan lain-lain lagi.


Apapun kami semua sangat teruja dengan perkongsian pengalaman ini dan dapat mengenali beliau dengan lebih dekat lagi, ternyata beliau sangat peramah dan tidak lokek dengan ilmu.


Terima Kasih Mejar Dr. Faiz Khaleed

Thursday, July 2, 2009

JEMPUTAN


SPEAKER : MEJAR DR. FAIZ KHALEED
ANGKASAWAN NEGARA

PROGRAM BICARA ANAK MERDEKA

8.00 MALAM
03 JULAI 2009 (JUMAAT)
CAFE MERDEKA, MENARA DATO' ONN
PWTC, KUALA LUMPUR

ANJURAN : SEKRETARIAT BICARA ANAK MERDEKA

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI,
SEMUA DIJEMPUT HADIR

Sunday, June 28, 2009

Kuasai ekuiti Bumiputera


Sejarah membuktikan pentingnya perkongsian kekayaan dan kemakmuran negara di kalangan rakyat sebuah negara. Kegagalan berbuat demikian bakal mengundang bahaya konflik yang disemarakkan oleh rasa tidak puas hati seperti mana berlaku di sesetengah negara.
Pada masa yang sama pertumbuhan pesat juga diperlukan untuk membolehkan kek ekonomi lebih besar wujud dan diagihkan supaya tiada perasaan tidak puas hati yang boleh membawa kepada persengketaan "yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu," tanpa menguntungkan sesiapa.
Ketidakpuasaan boleh menyaksikan perkembangan ekonomi negara yang rancak bukan sahaja terbantut tetapi juga menyebabkan kemajuan negara mengundur ke belakang, sedangkan apa yang sepatutnya berlaku adalah sebaliknya.
Namun begitu, perlu diakui sehebat mana pelan tindakan atau usaha yang dilakukan agar pengagihan kekayaan benar-benar saksama dan adil, segala-galanya tidak lebih hanya ilusi.
Kita tidak dapat mengharapkan semua rakyat di Malaysia akan menikmati semua kekayaan yang ada tetapi sekadar memastikan jurangnya dikurangkan seberapa kecil mungkin.
Mungkin juga ekonomi semua kaum dikembangkan melalui keupayaan kekuatan yang setara, sehingga tidak wujud lagi perbezaan penguasaan yang terlalu ketara.
Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar sejak mencapai kemerdekaan dimulai dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang semangatnya terus diterapkan dalam dasar-dasar yang sedia ada ke arah memastikan tiada kaum terpinggir terutamanya Bumiputera yang mewakili majoriti rakyat negara ini.
Malah, pada masa yang sama, dasar itu juga tidak sama sekali mengambil hak pihak lain untuk diberikan kepada pihak yang satu lagi.
Namun di sebalik kejayaan yang dicapai DEB, sasaran sebenarnya masih belum tercapai. Jurang penguasaan kekayaan ekonomi biarpun dapat dikurangkan tetapi ia masih lagi luas dan perlu dirapatkan lagi.
Bukan silap dasar kerajaan tetapi pelaksanaan yang gagal dilakukan dengan sebaik-baiknya tanpa penghayatan penuh seperti mana yang diharapkan dan juga badan atau agensi pelaksana gagal untuk bertindak balas mengikut keadaan semasa.
Kelemahan ini dikenal pasti menjadi punca utama. Ini akhirnya menyebabkan terdapat 5.1 peratus Bumiputera masih hidup di bawah garis kemiskinan dengan kadar peratusan yang lebih tinggi berbanding dengan kaum Cina (0.6 peratus) dan meskipun lebih baik berbanding kaum India (2.5 peratus).
Bagaimanapun, secara menyeluruh tidak dinafikan DEB sememangnya berjaya mengurangkan tahap kemiskinan dan pendapatan isi rumah di antara kaum serta meningkatkan golongan berpendapatan menengah Bumiputera.
Kejayaan juga dicapai dengan mengurangkan kemiskinan ketara dalam masa yang singkat terutamanya bagi masyarakat luar bandar.
Berdasarkan perangkaan yang ada sehingga 2009, jurang pendapatan antara kaum terutamanya Bumiputera dengan kaum Cina masih lagi jauh, sedangkan di antara kaum India dengan kaum Cina berjaya dikurangkan.
Dalam hal ini, langkah yang seterusnya perlu dilakukan dalam memastikan jurang pendapatan itu diatasi termasuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dan juga golongan profesional Bumiputera yang bertambah tetapi masih berkurang daripada segi bilangannya.
Pada masa ini, kadar peratusan penguasaan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara tidak berubah, sebaliknya kekal pada sekitar 19.4 peratus menyamai apa yang dicatatkan pada tahun 1990 meskipun terdapat pertumbuhannya yang pesat sepanjang tahun 1990 hingga 2006.
Dan, pada masa yang sama peratusan penguasaan ekuiti asing dilaporkan kembali mengalami peningkatan.
Perkembangan ini membimbangkan. Kerajaan harus mengambil langkah meningkatkan kekayaan Bumiputera melebihi sasaran 30 peratus supaya setanding dengan bukan Bumiputera dalam pemilikan ekuiti dan juga hartanah.
Pertumbuhan masa depan seharusnya dijana oleh kerajaan dengan menyediakan kek ekonomi lebih besar untuk dinikmati oleh semua kaum dengan bergerak ke arah menjadi sebuah negara maju.
Keadaan ini memerlukan kerajaan melihat semula dan menambah baik mana-mana usaha dan tindakan atau peranan pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan perkara berkenaan menjadi satu kenyataan.
Ini bermakna apa juga yang dilihat sebagai tidak lagi bersesuaian dengan masa, sudah sewajarnya dihapuskan atau dipinda agar menjadi lebih berkesan.
Pada masa ini, pelaksanaan dasar yang sedia ada menunjukkan jumlah pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat kekal rendah, bahkan masih gagal mencapai sasaran. Perkara ini bukan baru malah sering kali diutarakan dan juga dibahaskan secara terbuka sebelum ini.
Sebagai contoh, pemilikan 30 peratus kepentingan dalam syarikat senaraian awam sehingga kini dilihat tidak banyak membawa perubahan yang diharapkan.
Malah, kajian menunjukkan keadaan itu dilihat sebagai halangan atau rintangan kepada kemasukan pelabur asing untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Senario sebegini tidak menguntungkan dan dilihat menyukarkan kerajaan yang kini bersaing hebat daripada negara-negara seperti Vietnam, India dan China sebagai destinasi pelaburan. Ini menyebabkan berlaku penyusutan dalam pelaburan langsung asing ke dalam negara.
Berdasarkan ketidakcapaian pemilikan itu mungkin sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan memikirkan kaedah yang baru dan lebih baik.
Lagipun bayangkan dengan menguasai 30 peratus dalam sesebuah syarikat, kaum Bumiputera tidak mempunyai sebarang
suara majoriti dan hanya tidak ubah sekadar menjadi sleeping partner semata-mata.
Keadaan ini merugikan selain tidak meningkatkan bilangan profesional Bumiputera seperti mana yang diharapkan.
Mungkin sepatutnya kita perlu merenung sejenak memikirkan di mana logiknya dan mengakui ketidakupayaan kaedah itu.
Mahu atau tidak, mungkin kita terpaksa mengakui apa yang dilalukan sebelum ini telah tidak mengambil kira kepada tumpuan ke arah meningkatkan guna tenaga dan pembangunan selain penekanan kepada penyelesaian masalah secara menyuruh. Ini kerana semata-mata memenuhi hasrat untuk meraih kejayaan segera.
Pendekatan yang berbeza tetapi bukan berupa 'mi segera' perlu diambil untuk menjayakan matlamat kerana bilangan Bumiputera berkaliber untuk mencipta kejayaan besar seperti mana yang ditunjukkan oleh Petronas dan juga Permodalan Nasional Berhad.
Kenapa kelebihan dan pengalaman profesional berkenaan sama ada yang terdapat di dalam dan di luar negara tidak digunakan untuk melaksanakan pelan tindakan baru yang lebih mantap dalam mengangkat keupayaan Bumiputera menguasai kek ekonomi lebih besar.
Ini kerana tindakan kerajaan sebelum ini seperti memperuntukkan ekuiti dan saham khas kepada bumiputera bagi terbitan baru ke Bursa Malaysia misalnya menyaksikan berlakunya penjualan balik hanya untuk mendapat keuntungan jangka pendek selain wujudnya kegiatan 'ali baba' menggunakan nama Bumiputera.
Berdasarkan perangkaan sejumlah RM54 bilion ekuiti yang diagihkan, hanya RM2 bilion kekal kerana lainnya dijual untuk meraih kekayaan bersifat sementara.
Lagipun, pada masa yang sama peruntukan 30 peratus kepada pelabur Bumiputera juga mempunyai halangan kerana ketiadaan rakan kongsi Bumiputera yang tulen dan wujudnya kekangan kewangan di kalangan usahawan berkenaan.
Sehubungan itu, kerajaan tidak lagi boleh sekadar mengharapkan kejayaan dasar yang sedia ada tanpa memikirkan yang lainnya.
Ini kerana tidak semua yang dirancang sebelum ini sesuai dengan situasi semasa, sekali gus menyebabkan matlamat sasaran yang mahu dicapai tidak menyeluruh, sedangkan kepentingan Bumiputera dipertahankan dan diberi penambahbaikan.
Perkembangan ini bermakna satu bentuk pemikiran di luar kebiasaan perlu diambil seperti menerokai penguasaan syarikat-syarikat persendirian yang berdaya maju selain syarikat senaraian awam yang mana kepentingan pegangannya lebih banyak dilakukan melalui pelaburan skim-skim amanah saham PNB.
Selain itu, kerajaan mungkin perlu menyemarakkan semula langkah perkongsian bijak yang pernah dilaksanakan satu ketika dahulu tetapi perkembangannya seolah-olah mati begitu sahaja dalam menggalakkan penguasaan ekonomi yang lebih ideal, sekali gus menghapuskan prasangka hanya satu kaum sahaja yang dibantu.
Menyedari hakikat persaingan yang ada, kerajaan perlu mengambil tindakan yang berani setelah mengambil kira kesan dan faedah yang bakal diraih. Pelan tindakan perlu disertakan sokongan yang mampu memastikan kejayaan.
Perubahan-perubahan juga boleh dilakukan serta-merta untuk mengelak pembaziran dan juga kerugian kepada negara.



sumber Utusan Malaysia 29 Jun 2009
Oleh MOWARDI MAHMUD ialah Pengarang Ekonomi Utusan Malaysia
bisnes@utusan.com.my

Saturday, June 20, 2009

SELAMAT HARI BAPA

Salam semua,

Tarikh Hari Bapa adalah pada hari Ahad minggu ketiga bulan Jun pada setiap tahun, ini bermakna tahun ini jatuh pada 21 Jun 2009. Seperti biasa hari bapa kurang disambut dan kurang mendapat sambutan atau diingati berbanding hari ibu. Walau apapun, sambutan hari ibubapa perlulah sentiasa diingati sepanjang tahun. Tanpa ibubapa siapalah kita.


Seandai anda masih mempunyai bapa, raikanlah sesuatu sempena hari bapa ini kerana jasa mereka menjaga dan membesarkankan kita tidak mungkin dapat dibalas, malah mereka tidak pernah meminta untuk dibalas.

Kasihnya Ibu membawa ke syurga,
Kasihnya Ayah sepanjang masa
.

SELAMAT HARI BAPA

Ayah Dan Ibu
Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan Matahari

Yang dikurniakan dari Ilahi
Ayah dan ibu lah
Mesti dihormati

Ayah dan ibu
Wali keramat
Pada mereka kita beri hormat
Bagilah tunjuk ajar dan
Nasihat
Supaya hidup
Supaya hidup kita akan selamat

Saturday, June 13, 2009

Dato' Rosnah Majid





Salam Sejahtera,

Saya merasa teruja kerana dapat bersama YBhg Dato' Rosnah Majid, seorang tokoh, bekas wartawan wanita pertama dijemput oleh Ayatollah Khomeini - Pemimpin Revolusi Iran. Dato' Rosnah juga seorang Penganalisis Ekonomi Antarabangsa & Konsulat Pelaburan Asing (USA) ke Malaysia dan juga Bekas EXCO Kerajaan Negeri Kedah.

Malam itu topik perbincangan bertajuk "Halatuju, Cabaran & Masa Depan Ekonomi Belia Melayu". Speaker memberitahu masalah dan peluang dalam perniagaan adalah diri sendiri kerana diri kitalah yang mahu atau tidak untuk merebut peluang untuk berjaya. Peluang sangat luas di luar dan kita yang perlu bekerja kuat untuk merebutnya.

Speaker menyarankan kami untuk banyakan membaca, menimba ilmu dan berkawan untuk berjaya. Dengan pengalaman yang dikongsi bersama speaker telah memberikan kami semangat dan sedikit ilmu untuk kami berfikir menceburi dan memilih bidang perniagaan atau keusahawanan sebagai kerjaya.

Apapun malam itu adalah malam yang telah memberikan pengalaman yang bermakna pada kami. terima kasih YBhg Dato' Rosnah Majid.

Monday, June 8, 2009

Belia-Perpaduan Negara






Salam sejahtera dan berjumpa lagi. Malam jumaat yang lepas seperti biasa saya terlibat dengan program Bicara Anak Merdeka dan speakernya seperti sedia maklum YM Tengku Naufal YM Tengku Mansor seorang peguam dan Jurulatih bebas.

Speaker menyeru satu gerakan pemikiran baru harus dimulakan dan perjuangan yang telah dilakukan oleh golongan terdahulu perlukan kesinambungan. Masyarakat sekarang terutamanya golongan belia perlu sedar hakikat perlembagaan, kita (orang Melayu) menerima untuk duduk bersama dengan kaum-kaum lain dan mereka juga telah bersetuju kita diberi hak keistimewaan dalam Negara Malaysia ini.

Speaker juga menekankan belia masa kini harus faham tuntutan dasar perjuangan dan meminta para belia untuk fokuskan perjuangan daripada segi pendidikan (ilmu) dan kebajikan sahaja. Untuk menyelamatkan belia, para pemimpin harus tidak ‘exclusive’ tetapi ‘inclusive’ dan berWawasan untuk menentukan ‘magnitud’ perjuangan. Belia harus pandai mengadaptasi dan pandai menelan perkara yang dianggap sensitif selagi boleh diterima demi memastikan keharmonian Negara, dan jika perlu memuntahkan kembali sekiranya perlu.

Menurut Imam Syafie; “untuk melihat masa hadapan sesebuah Negara, kita harus melihat keadaan anak-anak belianya”.

Speaker mencadangkan, untuk melakukan pembaharuan, jangan fokus dahulu pada 2 golongan ekstrimis, tetapi fokus pertama pada golongan atas pagar. Speaker juga menggariskan untuk mencapai perpaduan :

-Para belia sendiri harus bersatu padu
-Belia harus berintelek
-Belia harus inclusive
-Belia harus berfikiran terbuka dan berwawasan

Tepuk dada, tanya MINDA. ikut hati akan mati, ikut rasa akan binasa. Jumpa lagi.

Thursday, June 4, 2009

BELIA GLOKAL


Belia, merujuk Kamus Dewan edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka 2005 merupakan golongan muda secara keseluruhannya (baik lelaki mahupun wanita), pemuda dan pemudi, tunggak kepada kesinambungan warisan Negara yang didukung dalam kepelbagaian adat, budaya dan resam masyarakat yang mendiami bumi bertuah ini.

Peranan yang dimainkan oleh golongan belia ini sama berat dengan golongan yang lain dalam usaha untuk terus menyumbang khidmat bakti dalam membangunkan negara bagi mencapai hasrat dalam menjayakan Wawasan 2020 kelak.

Walau bagaimanapun berdasarkan gambaran yang diperolehi mengenai penglibatan belia masa kini, peranan mereka tidak begitu memberangsangkan. Ini jelas dapat dilihat dengan banyaknya kes-kes salah laku moral dan jenayah, yang meningkat disebabkan oleh banyak faktor yang menyumbang ke arah insiden yang tidak baik ini. Kajian demi kajian telah dilakukan namun kadar kes yang dilaporkan tidak begitu berkurangan. Adakah sememangnya salah belia yang tidak mahu berfikir panjang akan akibat dan musibah yang bakal diterima jika melakukan perkara yang tidak bermanfaat itu? Atau juga masyarakat tidak menyokong akan kehadiran mereka ini, sedangkan yang melakukan kegiatan tidak bermoral itu mungkin hanya sebilangan sahaja sehingga melabelkan bahawa semua belia memang tidak menyumbang kepada Negara, hanya menghabiskan duit cukai rakyat yang perlu dibayar kepada kerajaan.

Ibarat seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit. Masalah ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana pewaris bangsa ini bakal mengepalai tanah jajahan yang berdaulat dan jika busuk hidupannya, mana mungkin udara yang bakal dihirup sesegar taman syurgawi.

Dianggarkan lebih 45% daripada rakyat Malaysia terdiri daripada golongan belia yang merupakan bank tenaga dan pemikir dalam menjana pembangunan negara. Memahami persoalan kedudukan pemimpin dan organisasi belia dalam konteks pembinaan golongan muda yang ditimbulkan ialah mengapa tunggak yang telah lama wujud ini seperti tidak bermaya untuk membina belia? Adakah mereka tenggelam dalam permasalahan dan tuntutan masa? Atau adakah pemimpin dan organisasi belia tidak mempunyai persediaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang datang secara mendadak? Semua persoalan ini merupakan cabaran bagi pemimpin dan organisasi belia untuk menilai keberkesanan peranan yang dimainkan selama ini serta kewujudan mereka dalam menyusun strategi untuk terus menyumbang kepada penyediaan mereka sebagai pewaris tamadun bangsa yang berwawasan.

Tunggak kesinambungan kepimpinan negara terletak di atas bahu kepimpinan belia khususnya dalam bentuk kepimpinan organisasi. Peluang untuk terus menyerlahkan potensi ini sememangnya terbuka. Terpulang kepada belia untuk merebutnya.

Sebagaimana kita sedia maklum, Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, YAB Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, telah menggariskan 5 tindakan dan langkah utama bagi mencapai hasrat dan matlamat Melayu Glokal yang meliputi :

1. Menjana Melayu Glokal Melalui Ilmu dan Pendidikan
2. Menjana Ekonomi Untuk Pembangunan Melayu Glokal
3. Melayu Glokal Berpaksikan Penghayatan Agama
4. Memperkuatkan Jati Diri Melayu Glokal Melalui Transformasi Budaya
5. Memperkasakan Politik Melayu Glokal Berteraskan Idealisme Perjuangan

Jelas, sekiranya kelima-lima elemen utama ini digerakkan dan dipacu dengan sebaik mungkin, nescaya matlamat menghasilkan sebuah bangsa yang memiliki acuan glokal yang sempurna dapat menjadi satu realiti.

Malah konsep ‘Melayu Glokal’ yang diimpikan, Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional, membawa maksud, di samping kita hebat di dalam negara, kita juga mesti hebat berperanan di arena antarabangsa. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun akal kita menerjah ke pelusuk dunia. Melayu Glokal bertunjangkan budaya Melayu dan ajaran agama Islam yang suci. Pada ketika yang sama, kita tetap berani meneroka dunia yang penuh pancaroba ini.

Wednesday, June 3, 2009

JEMPUTAN


SPEAKER : YM TENGKU NAUFAL YM TENGKU MANSOR
TAJUK : HALA TUJU & PERMASALAHAN BELIA DALAM PERPADUAN NEGARA


PROGRAM BICARA ANAK MERDEKA


8.00 MALAM
05 JUN 2009 (JUMAAT)
CAFE MERDEKA, MENARA DATO' ONN
PWTC, KUALA LUMPUR

ANJURAN : SEKRETARIAT BICARA ANAK MERDEKA

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI, SEMUA DIJEMPUT HADIR

Sunday, May 31, 2009

Untukmu Wanita





Saya telah terlibat dengan Program Untukmu Wanita pada 30 Mei lalu yang telah diadakan di Auditorium Lembaga Pembangunan & Penduduk Keluarga Negara (LPPKN), Kuala Lumpur. Program separuh hari ini adalah untuk meraikan para ibu dengan membantu memberi pendidikan pengurusan kredit oleh Agensi Kewangan Pengurusan Kredit (AKPK) serta memberi pengetahuan tentang teknik tatarias dan penampilan agar kelihatan anggun dan bergaya bersesuaian dengan peredaran masa kini. Pihak penganjur juga telah mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk para peserta serta jemputan yang hadir.

Program ini telah dianjurkan oleh Biro Briged Putri Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Nasional (MAPIN) dan mendapat kerjasama Agensi Kewangan Pengurusan Kredit (AKPK), Lembaga Pembangunan & Penduduk Keluarga Negara (LPPKN) dan Majalah Mingguan Wanita terbitan Karangkraf serta disokong oleh Jabatan Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan dan Koperasi Ukhwah. Penyertaan adalah percuma dan program ini turut diserikan dengan cabutan bertuah.

Antara penceramah yang hadir ialah Pn. Noor Akma dan En. Adnan daripada AKPK serta En. Richie Rashman, perunding fashion Majalah Mingguan Wanita terbitan Karangkraf.

Saturday, May 30, 2009

Bersama EXCO Pemuda UMNO





Salam dan bertemu lagi. Bicara Anak Merdeka siri 4 minggu ini bertajuk "Masalah Belia Melayu Perundangan & Pembelaan" bersama YBhg Dato' Mohd Khairun Tan Sri Aseh, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Biro Guaman, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Dato' Mohd Khairun juga merupakan seorang pengamal undang-undang a.k.a peguam.

Minggu ini topik berkisar tentang masalah perundangan yang melibatkan masyarakat Malaysia kkhususnya belia muda dan ada juga beberapa perkara yang melibat perundangan negara.

Jemputan yang hadir telah membincangkan dan bertanyakan soalan mengenai ISA, Hindraf, Akta AUKU, Kontrak Sosial dan banyak lagi. Pada saya, speaker memenuhi kehendak peserta yang bersantai ketika menjawab soalan dan sapaan mesra beliau bersama kami. Ini menjadikan kami mudah berinteraksi dengan beliau. Syabas dan tahniah kepada speaker yang bijak mengawal suasana semasa sesi soal jawab yang agak hangat ketika itu. Moga kita bertemu lagi.

Wednesday, May 27, 2009

JEMPUTAN



PROGRAM BICARA ANAK MERDEKA

8.00 MALAM
29 MEI 2009 (JUMAAT)
CAFE MERDEKA, MENARA DATO' ONN
PWTC, KUALA LUMPUR


ANJURAN : SEKRETARIAT BICARA ANAK MERDEKA


DATANGLAH BERAMAI-RAMAI, SEMUA DIJEMPUT HADIR

Saturday, May 23, 2009

Bicara Anak Merdeka Siri3







Salam, berjumpa lagi,

Malam ini, Bicara Anak Merdeka siri 3 telah menjemput YBhg Datuk Abdul Rauf Yusoh, Setiausaha Kerja UMNO Malaysia. Sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran di luar jangkaan. Kami telah menjemput golongan yang diistilahkan sebagai "mat rempit" untuk bersama-sama membincangkan keadaan dan tanggapan masyarakat terhadap mereka dan bersama jemputan lain yang terdiri daripada rakan-rakan belia/muda daripada IPTA/IPTS dan pertubuhan belia/persatuan.

Perbincangan yang bermula dengan tenang dan lancar berkisar tentang percampuran kaum dan tentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan beberapa topik politik semasa telah diajukan. Akan tetapi perbincangan menjadi hangat apabila salah seorang "mat rempit" ini bertanyakan tentang bagaimana kerajaan boleh membantu mereka dalam membangunkan diri dalam perancangan program-program kerajaan agar mereka boleh turut-serta dan tidak dipandang negatif oleh masyarakat. Mereka ini sebenarnya sangat berminat untuk mencurah bakti bersama golongan muda yang lain untuk manfaat bersama. Bagaimana mereka hendak menabur budi jika stigma masyarakat hari ini dengan label yang negatif kepada mereka? Kita wajar membuka minda agar stigma ini dihentikan kerana di kalangan mereka ini mempunyai pekerjaan tetap dan ada yang bergelar usahawan muda. Dalam setandan pisang, tidak semuanya yang rosak.

Sekalung tahniah kepada Datuk Abdul Rauf yang berjaya menangani isu itu dengan menjawab soalan yang meyakinkan walaupun pada awalnya mengundang sedikit perbezaan pendapat. Beliau telah mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin yang hadir.

Saya juga sempat bertanyakan soalan kepada speaker bagaimana hendak mencintai UMNO dalam konteks yang mudah difahami dan diterima oleh golongan muda/belia. Datuk menjawabnya dengan mudah "berkasih pada yang sudi, memberi pada yang sudi menerima dan berteduh pada pohon yang rendang". Harapan saya, apa yang kita sasarkan adalah penyatuan persamaan bukan perbezaan dan yang dicari adalah titik pertemuan, tidak kira fahaman, ideologi ataupun pangkat. Program ini telah berjaya menghimpunkan golongan street smart dan book smart untuk duduk bersama-sama dan berkongsi pendapat.

Terima kasih juga kepada Sdra. Nazif Datuk Seri Najib, anak kepada YAB Perdana Menteri Malaysia yang turut hadir dan tidak canggung beramah mesra bersama semua jemputan yang hadir. Tahniah dan terima kasih juga kepada Sdra. Rizal, YDP Pertubuhan Pembangunan Belia WPKL yang telah berjaya mengajak dan menyakinkan golongan yang diistilahkan sebagai 'mat rempit' ini untuk hadir bersama-sama.

Saturday, May 16, 2009

Bicara Anak Merdeka Siri2



Salam semua,

YBM Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah dijemput sekali lagi untuk menjadi speaker program siri 2 pada malam tadi. Antara perkara yang dibincangkan berkisar tentang sejarah kemerdekaan, hak dan perjuangan Orang Melayu, perjalanan hidup tokoh-tokoh negara dalam berjuang untuk mencapai kemerdekaan serta hal-hal politik semasa.

Malam ini kami masih memfokuskan jemputan agar terdiri daripada golongan muda/belia dan sambutan mereka telah meningkat. Pelbagai soalan telah diajukan kepada YBM Datuk Seri dan jawapan yang telah diberikan berjaya merungkai kemusykilan para tetamu. Terima kasih YBM Datuk Seri.

Terima kasih kepada Encik Mohd Raizuli Jusoh, Timbalan Pengarah Bah. Perkhidmatan & Latihan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Cik Huzryfionawati, Naib Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Segambut kerana sudi hadir serta ahli-ahli puteri memberikan sokongan.

Friday, May 8, 2009

Bicara Anak Merdeka


Saya telah terlibat sebagai koordinator program "Bicara Anak Merdeka" yang telah diadakan di Cafe Merdeka, Menara Dato' Onn, PWTC, KL. Program siri pertama ini telah dihadiri rakan-rakan daripada pelbagai lapisan golongan belia/muda antaranya pelajar IPTA, IPTS, Pertubuhan Belia/persatuan dan orang perseorangan. Kami amat berterima kasih serta berbangga dengan kehadiran YBM Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agong UMNO Malaysia kerana sudi menjadi speaker siri pertama untuk program kali ini. Rata-rata para tetamu yang hadir merasa gembira dengan perkongsian maklumat, idea dan pengalaman bersama speaker dan saya telah diberi amanah sebagai pengacara majlis pada malam itu.

Program ini diilhamkan untuk berkongsi maklumat dan bertukar fikiran secara interaktif di antara pemimpin/tokoh dengan golongan muda tanpa mengira status dan kerjaya mereka. Apapun saya menganggap program ini sebagai kick start dalam mengeratkan serta menyatupadukan kembali golongan muda untuk turut serta dalam agenda pembangunan kerajaan di bawah satu bumbung seterusnya menyumbang dalam pembentukan negara.

Terima kasih kepada mereka yang telah hadir dan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada En. Shariff Hamid yang telah bertungkus-lumus untuk merealisasikan program ini dengan jayanya. Program ini berterusan akan diadakan setiap minggu pada hari Jumaat jam 8 malam di Cafe Merdeka dan speaker yang akan dijemput terdiri daripada tokoh negara kita, negeri, pertubuhan/persatuan di Malaysia ini.